Monday 11 November 2013


Kes kematian tahanan


 
Baru-baru ini imej pihak polis sekali lagi tercabar berikutan kematian seorang suspek di dalam tahanan. Mangsa yang bernama Gopal, berusia 22 tahun mati semasa berada dalam tahanan polis kerana disyakki anggota kumpulan samun kereta mewah. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan polis masih lagi menyiasat punca kematian Gopal ketika berada dalam lokap.Laporan awal bedah siasat mendapati bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh paru-paru berair bukannya didera. Sungguhpun begitu, desakan ahli keluarganya yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan, proses bedah siasat terpaksa dilakukan sekali lagi dan kes ini kemudiannya diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk menyalahkan polis semata-mata bagi insiden yang berlaku. Sekiranya dilihat dengan lebih jelas mangsa merupakan penjenayah yang dikehendaki. Dari rekod polis, mangsa ditahan kerana terlibat dalam kes samun kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, Lembah Kelang, dan Johor. Polis menahan mangsa ketika dia sedang memandu kereta Honda bersama seorang lagi rakannya yang berusia dalam lingkungan 30-tahun. Walaubagaimanapun, rakan mangsa berjaya melarikan diri. Dia juga dikatakan bergelut dengan anggota polis semasa ditahan. Ekoran penahanan tersebut, polis telah menjumpai semula beberapa kereta mewah yang dipercayai dilarikan. Kereta mewah itu dipercayai akan diseludup ke luar negara oleh satu sindiket antarabangsa. Dari sudut ini, kita dapat melihat bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas mereka dalam menyoal siasat mangsa. Kegagalan Gopal untuk mendedahkan lokasi kereta-kereta mewah itu dilarikan berkemungkinan mendorong pihak polis menggunakan kekerasan untuk mendesak mangsa.
Semasa kes ini hangat diperkatakan, ramai beranggapan bahawa pihak berkuasa bertindak di luar batasan kerana mengakibatkan kematian kepada mangsa. Namun, ramai yang terlepas pandang akan reputasi mangsa ketika masih hidup. Rekod menunjukkan mangsa merupakan anggota kumpulan samun kereta mewah yang aktif dan turut terlibat dengan sindiket jenayah antarabangsa. Persoalannya sekarang ini ialah apa yang dilakukan oleh mangsa terhadap pemilik-pemilik kereta mewah tersebut semasa menjalankan kegiatannya. Bagi pemilik-pemilik kenderaan mewah yang dilarikan mangsa, sudah tentu ini merupakan satu tindakan yang wajar dilakukan oleh pihak polis. Tambahan pula setelah beberapa buah kenderaan yang hilang tersebut ditemui semula.
Disamping terlibat dengan jenayah samun kereta mewah, Gopal juga dikatakan turut terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah lain seperti jenayah rogol. Namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis disebabkan keengganan mangsa untuk melaporkan kejadian tersebut. Penglibatan Gopal dengan sindiket antarabangsa menjadi bukti betapa berbahayanya lelaki ini semasa bebas. Ini turut dibuktikan dengan tindakan mangsa yang cuba untuk melawan dan bergelut dengan anggota polis semasa penahanannya.
Sistem kehakiman yang dijalankan di negara kita kadangkala memberi ruang untuk penjenayah disabitkan terutamanya apabila berhadapan dengan peguam yang bijak memanipulasikan hujah dan bukti. Kegagalan dalam pendakwaan juga seringkali menyebabkan suspek yang melakukan kesalahan dibebaskan. Hal ini sudah pasti memberi ruang kepada penjenayah seperti Gopal untuk terlepas daripada hukuman dan mengulangi semula kegiatannya. Langkah yang terbaik ialah memastikan penjenayah-penjenayah seperti ini menerima hukuman yang sewajarnya.
Selain itu, sebelum mangsa dilaporkan meninggal, beliau turut ditempatkan bersama dengan lima orang tahanan lain yang juga merupakan anggota kepada kumpulan jenayah tertentu. Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat juga perselisihan yang berlaku antara kumpulan-kumpulan tersebut sebelum ditahan.Terdapat juga kemungkinan bahawa mangsa turut dipukul oleh tahanan-tahanan yang lain semasa berada di dalam lokap. Hal ini kerana, reputasi mangsa turut menyebabkan mangsa terdedah untuk diserang ketika berada di dalam lokap. Oleh itu, tindakan untuk menyalahkan polis semata-mata adalah tidak wajar kerana terdapat pelbagai kemungkinan yang membawa kepada kematian mangsa.
Berikutan kematian mangsa, Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) pada masa itu turut mempersoalkan intergriti, akauntabiliti dan ketelusan pihak polis kerana mengeluarkan kenyataan untuk menenangkan keadaan. Mereka juga mempertikaikan polis yang terlibat dalam proses soal siasat yang masih belum ditahan. Pada masa yang sama turut menuduh pihak polis mengamalkan diskriminasi atau ‘double standard’ terhadap kaum India. Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan secara membabi buta ini akhirnya terjawab dengan penahanan seorang Konstabel polis yang juga berbangsa India. Beliau menghadapi pertuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada Gopal di bilik soal siasat.

Hal ini sekaligus menafikan tuduhan liar yang dilemparkan bahawa pihak berkuasa mengamalkan ‘double standard’ seperti yang didakwa. Untuk kes ini, kaum India khususnya perlu berfikir dengan lebih rasional dan tidak bertindak terburu-buru dalam membuat kesimpulan. Sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak berkepentingan ini bukan sahaja mampu memecahbelahkan perpaduan, malahan menggugat keamanan negara.