Monday 2 December 2013

Asal-usul Muay Thai







Muay thai atau tinju siam merupakan seni bela diri yang berasal dari Thailand. Seni bela diri ini juga turut dikenali sebagai pradal serey di Kemboja, tomoi di Malaysia, muay lao di Laos dan lethwei di Myanmar. Muay thai merupakan sukan nasional di negara Thailand dan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Sukan ini juga turut digemari di Malaysia, terutamanya di negeri utara dan pantai timur semenanjung.

Adalah dipercayai bahawa Muay Thai telah wujud sejak dua ribu tahun dan merupakan evolusi dari seni Muay Boran “tinju kuno”, seni pertempuran tangan kosong yang digunakan oleh tentera Siam setelah kehilangan senjata semasa bertempur. Ianya merupakan pelengkap kepada Krabi krabong “seni bermain pedang dan senjata”.

Disamping digunakan sebagai teknik pertempuran, Muay kemudian menjadi sebuah sukan di mana dua peninju akan bertempur di hadapan penonton untuk tujuan hiburan. Pertandingan Muay ini berkembang dalam bentuk festival di negara Siam  dan digunakan sebagai hiburan bagi raja-raja Siam. Tali jerami panjang turut diikat pada penumbuk dan lengan bertujuan melindungi tangan daripada cedera. Jenis pertandingan ini disebut sebagai “Muay Kaad Chuek” dan masih lagi diamalkan sehingga kini, terutamanya di sempadan Thailand-Myanmar.

Semasa pemerintahan Raja Phra Chao Sua (1702), yang juga dikenali dengan gelaran “Tiger King”, beliau mengajarkan kepada seluruh bala tenteranya. Terdapat juga cerita mengatakan bahawa beliau turut menyertai pertandingan yang diadakan bersama rakyat jelata. Dalam pertandingan yang disertai, beliau memakai topeng bagi mengelakkan diri dikenali sekaligus menyebabkan rakyat enggan memukul dan memberikannya kemenangan mudah.

Pada tahun 1774, terdapat seorang peninju legenda yang menaikkan maruah Muay bernama Nai Khanom Tom kerana peranannya melawan pahlawan Burma. Pada waktu tersebut beliau telah ditangkap dan dijadikan tahanan di penjara Burma. Beliau mewakili rakyat Thai dalam sebuah pertandingan yang diadakan oleh Raja Mangra. Dalam pertandingan tersebut, beliau berjaya menumbangkan sepuluh pahlawan terbaik Burma dengan menggunakan tangan kosong. Setelah itu, raja Burma memberikan kebebasan sebagai hadiah kemenangan beliau dan kembaali ke Ayyuthaya sebagai seorang pahlawan yang dihormati. Peristiwa itu juga turut menjadi sejarah penting bagi negara Thailand dan sambutan turut diadakan setiap tahun bagi meraikannya.

Secara teori, teknik Muay Thai dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu “Mae Mai” dan “Luk Mai”. Dalam sesebuah pertandingan, peninju Muay Thai atau “Nak Muay” menggunakan lapan anggota badan seperti tumbukan, siku,lutut dan tendangan. Namun, terdapat juga pertandingan di peringkat antarabangsa yang melarang penggunaan siku. Peraturan yang berbeza-beza bergantung di mana pertandingan berlangsung serta organisasi yang menjadi penganjur.


No comments:

Post a Comment