Monday 28 October 2013

Balkanisasi Siber
.



Artikel yang diperolehi daripada suaramurba.blogspot bertajuk balkanisasi siber menjelaskan tentang kesan negatif yang bakal dihadapi oleh pengguna internet dan juga teknologi maklumat pada masa ini. Ianya merupakan topik yang menarik untuk dibincangkan kerana masih ramai yang belum memahami kesan buruk penggunaan internet terhadap masyarakat dan negara. Dalam dunia yang serba canggih ini, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi yang dicipta boleh menjadi alat pemusnah sekiranya tidak digunakan dengan betul. Kebebasan bersuara tanpa sebarang sekatan yang diamalkan bukan sahaja memberi ruang kepada golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan ideologi songsang mereka, malahan menjadi salah satu punca menularnya gejala-gejala negatif.
Jika diteliti, konsep Balkanisasi siber ini pada asasnya diperolehi daripada fenomena kebebasan yang diperolehi daripada Negara-negara Balkan, yang memberikan impak yang negatif berikutan kemerdekaan menjadikan mereka terpisah dan ganas terhadap sesama jiran. Hal yang demikian dapat dilihat dalam kalangan media di dunia maya pada masa kini. Tidak seperti media arus perdana, media alternatif yang semakin popular kini membolehkan pengguna menikmati bahan bacaan atau video mengikut citarasa tersendiri disamping berkongsi minat dengan pengguna yang lain.
Dalam artikel tersebut,penulis membincangkan tentang kesan yang timbul daripada perkembangan media alternatif negara kita. Tidak dapat dinafikan, kebebasan dalam mencari bahan tanpa sebarang sekatan ini nyata memberi cabaran yang amat besar terhadap media arus perdana termasuklah yang terdapat di Malaysia..  Perkembangan ini pada masa yang sama mewujudkan gejala yang kurang sihat seperti memasukkan elemen kebencian terhadap kerajaan, kritikan tidak berasas, fitnah, pengabaian etika serta menjadikan konflik politik yang berlaku sebagai topik utama.
Kebebasan atas nama demokrasi ini dilihat lebih ketara pada masa ini jika dibandingkan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir. Sikap beliau yang lebih tegas terhadap kebebasan media ini seringkali menjadi kritikan terutamanya kepada musuh politik beliau yang menyifatkannya sebagai zalim dan tidak demokratik. Namun, pihak pembangkang jugalah yang mengakui pentingnya polisi ini dilakukan apabila isu-isu sensitif tentang mereka dijadikan topik sensasi di laman sesawang. Sikap toleransi berlebihan terhadap media yang diamalkan pada masa ini nyata memberi kesan terhadap keharmonian sosial di negara ini. Bahasa-bahasa kesat serta caci-makian melibatkan kaum  sering berlaku sekaligus menggugat perpaduan antara kaum di negara kita. Internet kini menjadi elemen untuk menanam kebencian dalam kalangan pengguna. Adalah tidak keterlaluan sekiranya konsep kebebasan tanpa sekatan ini memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Sifat internet dan laman sesawang yang kaya dengan berita serta tidak ditapis membolehkan pengguna mencari bahan serta topik yang digemari. Pengguna malahan boleh berkongsi minat dan maklumat melalui laman web atau blog. Sikap taksub dan ekstrim terhadap sesuatu individu atau kumpulan misalnya boleh menimbulkan krisis atau konflik. Perlawanan bola sepak antara Johor dan Kelantan baru-baru ini menjadi bukti bahawa gejala balkanisasi ini mampu menyelinap masuk ke dalam jiwa peminat serta pelayar Internet terhadap apa yang mereka minati. Laman sosial tidak sunyi daripada caci-makian antara peminat kedua-dua pasukan yang bertanding. Ugutan yang diterima oleh Inderaputera dan pengadil menjadi bukti bahawa sikap taksub ini mampu mendorong kepada perlakuan ganas.
Sudah pasti, gejala ini lebih parah sekiranya bahan yang disediakan itu mengandungi unsur-unsur kebencian, anti kerajaan dan kritikan yang tidak berasas daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Bahan-bahan yang disajikan kepada pembaca dan pengguna internet juga kurang mempunyai kredibiliti. Sering juga kita lihat penulis-penulis blog mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan sumber sesuatu berita itu diperolehi tidak dapat dipastikan.

Paling jelas tindakan sesetengah pihak berkepentingan bukan sahaja mencemarkan imej negara, malahan turut menggugat perpaduan.

No comments:

Post a Comment